KUALA LUMPUR, 25 Januari:
Jumlah penduduk Melayu semakin bertambah berbanding penduduk Cina di Pulau Pinang dan ini akan membawa mudarat besar kepada masa depan politik DAP.
Awang Selamat dalam kolumnya di Mingguan Malaysia memetik tulisan bertajuk ‘DAP kuat tetapi tidak bermaya’ dalam akhbar China Press pada 15 Januari di mana penulisnya, Lim Fang mengingatkan DAP supaya tidak terlalu selesa terutamanya dalam konteks politik negeri itu.
Menurut Lim Fang, DAP sepatutnya bimbang dengan keadaan itu apatah lagi masih belum dapat mempengaruhi orang Melayu.
“Jika UMNO dapat raih kemenangan di semua kawasan Melayu, DAP akan hadapi masalah dan untuk apa mereka berbangga sekarang,” kata Lim Fang.
Menurut Awang, ini adalah realiti sebenar yang mendepani DAP di sebalik keangkuhan pemimpinnya.
Malah katanya, ia diburukkan dengan tindakan PAS menjauhi parti itu ekoran banyak perbalahan terutama dalam isu pelaksanaan hukum hudud.
“Akar umbi PAS tidak boleh menerima penghinaan demi penghinaan DAP. Tanpa sokongan PAS dan dengan kedudukan PKR yang lemah, DAP sedar impian untuk memerintah Kerajaan Pusat dan untuk makin dominan di Pulau Pinang pada pilihan raya akan datang, rumit untuk dicapai,” katanya.
Jelas Awang lagi, pendirian pemimpin DAP menyokong kalimah Allah untuk digunakan oleh semua agama, imej rasis yang tebal dan terlalu kecinaan, adalah satu lagi cabaran besar untuk menarik sokongan Melayu.
“Tetapi DAP tidak putus asa,” ujar Awang.
Menurutnya lagi, dalam perkembangan terbaru parti itu bertekad untuk bermati-matian mempengaruhi golongan muda Melayu terutama yang agak liberal dengan apa sahaja cara.
“Berwaspadalah. Sudah berulang kali terbukti dalam mendapatkan sokongan Melayu, DAP bermain wayang.
“Apabila sokongan diperoleh dan kemenangan dicapai pada pilihan raya, kepentingan Melayu bukan sahaja tidak dibela malah dilemahkan dan dibiar terpinggir seperti berlaku di Pulau Pinang.
“Lalu pemimpin DAP tersenyum puas, muslihat mereka berjaya. Seperti kata bekas Naib Pengerusi DAP, Zulkifli Mohd. Noor, harga orang Melayu kepada DAP hanya 50 sen. Alahai Melayu,” katanya.